Wednesday, May 9, 2012

CHOW KIT: REALITI DAN FILEMESASI PADA SATU KESAMAAN


Filem Chow Kit sedaya upaya memaparkan realiti sebilangan kecil penghuninya. Ia punyai dua cerita @ dua heavy drama dalam satu wayang. Cerita satu tidak ada kaitan dengan cerita dua, usah cuba dikaitkan cerita satu dengan cerita dua kerana dua-duanya berbeza. Ia lebih memudahkan anda menontonnya.

Cerita satu pada pengkisahan gelandangan kanak-kanak Chow Kit. Mereka adalah anak kepada pelacur, anak kepada peniaga kecil yang terlibat dengan dadah dan peminta sedekah. Anak-anak telah faham apa kerja emak; "Emak pergi kerja malam ni, awak balik awal. Kunci pintu."

Anak-anak faham kerja emak walaupun sampai ke rumah tumpangan kecil mereka di atas kedai lorong-lorong belakang Chow Kit. Anak-anak seakan kena membenarkan emaknya 'bekerja' walaupun di tempat tidurnya sendiri. Oleh itu, soal emak tidak boleh disentuh, soal emak jangan dikomen oleh sesiapa. Sanggup bertumbuk bergaduh besar.

Anak penagih dadah tentunya lebih kronik, memerhati si bapa menagih dadah, meminta sedekah untuk sesuap nasi, mencuri kasut ketika jemaah bersolat. Realiti.

Penonton dipaparkan nilai kemanusiaan secara halus. Dalam gelojak 'hitam' Chow Kit, filem ini berjaya menyelitkan nilai keinsanan sejagat. Ibu pelacur tidak mahu anaknya jadi pelacur (dinodai), bapa penagih tetap sayang anaknya yang dipukul setelah mencuri, si abang menangis melihatkan adiknya demam di dalam rumah kotak di tepi sungai Gombak. Namun dalam kancah 'hitam', si anak gadis tetap tidak selamat untuk menjaga kehormatannya; dan ia berakhir dengan balas dendam, menyudahkan ceritera.

Kisah kedua berlingkar pada aktiviti kumpulan haram, pembunuhan dan penodaan berpanjangan. Untuk melontarkan sedikit pemikiran dan pertimbangan penonton, dipaparkan adegan pemerkosaan balas dendam oleh dua watak 'jahat'. Ketika penjarahan pertama terjadi; bagi menyelamatkan keadaan, bekas pelacur 'menolong' rakan yang diperkosa dengan mengumpan tubuhnya kepada seorang lelaki lain yang sedang menunggu giliran. Ini yang dikatakan 'tolong'.

Sukar hendak saya bahaskan soal hukum agama dalam pemaparan realiti Chow Kit. Mungkin dari sudut lain yang boleh dibahaskan. Konflik sosial; konflik sosial dan kaitannya dengan agama.

Masyarakat. Kebiasaan (norma) menjadi budaya, budaya sukar hendak diubah. Kelompok pelacur yang berumahtangga di situ, mencari makan dan membesar anak-anak di situ, tentulah sukar hendak mengubah gaya hidup baru; hendak mencari ruang dan peluang hidup baru. Sukar. Sukar pada pemikiran dan pertimbangan mereka di SITU. Dari sudut kita yang melihat, kita punyai beberapa pilihan lain yang mungkin senang untuk menyalahkan mereka. Senangkah mahu memindahkan rumah mangsa banjir ke kawasan penempatan baru yang lebih selamat? Belum tentu semudah itu. 

Begitu juga anak-anak yang membesar dalam situasi 'gelap', yang sebenarnya mereka tidak sedar 'gelap' itu suatu yang 'gelap', putih dan bersih itu suatu fenomena asing yang mereka tidak pernah temui. Itukan 'kerja' emak, kerja emak untuk menyara hidup seharian, biar bagaimanapun kerjaya si emak, kerjaya tetap kerjaya.  Norma berkait rapat dengan makanan dan keperluan. Aktiviti pelacuran ada permintaan, ada pelanggan yang silih berganti dan terus berkembang di mana-mana sudut dunia. Dunia Chow Kit sama sahaja di Jalan Wong Ah Fook, Johor Bahru, di Jalan Bandaran Jaya Kota Kinabalu atau di mana sahaja. Ada permintaan dan ada tawarannya. 

Saya melihat agensi kerajaan perlu melihat perkara ini dengan lebih halus. PM DS Najib tidak mungkin melihat perkara ini, tidak juga parti politik lain walaupun sesekali mereka turun padang mengambil gambar. Agensi zakat punyai peluang dan ruang luas membantu warga gelandangan sosial seperti mereka. Langkah utama ialah mendekati warga berkenaan, diberi sedikit ruang ilmu dan agama, diberi sedikit idea dan pemikiran, diberi sedikit daya fikir untuk berubah, diberi sedikit ruang dan peluang perniagaan dan kemudahan, yang akhirnya bisa merubah sebahagian kecil gelandangan sosial ummah. 

Saya sekadar berani memerhati, tidak jauh daripada itu. Beranikah kita melakukan sesuatu untuk Chow Kit dan Wong Ah Fook yang sentiasa hidang terbuka!

NYONYA TUA DAN DUA EKOR ANJING

Sungai Seget dikebumikan bersama lingkaran pelaku di bawah dan di atasnya.

Dua ekor anjing masih berligar di kaki lima jalan persisiran Meldrum. Nyonya tua duduk tersimpuh dengan cawan plastik di tangan beserta dua beg plastik berisi bekalan. Anjing kurap betina merebahkan badannya ke lantai, duduk beriring dengan Nyonya. Ekornya digerak-gerakkan manja, kepalanya dibaringkan pada lantai dengan memuncungkan hidung ke hadapan. Seekor lagi yang jantan berligar-ligar di sisi Nyonya, berlegar amat hampir walaupun tidak menyentuhi Nyonya.

"Anjing ini Nyonya bela ke?"

"Takda lah. Dia ikut saya saja. Dia selalu ikut saya. Saya pigi mana-mana pun dia ikut."

"Nyonya bagi makan ..."

"Ada sikit-sikit bagi makan. Dia tak mau pigi.."

Nyonya memandang wajah pemuda yang menyapanya. Pemuda separuh umur yang kelihatan masih tegap dan sopan, redup wajahnya.

"Awak balik kerja?"

"Iya, kerja.."

"Awak bagus lo, kerja baik-baik..." Nyonya sekadar bersuara lemah, antara dengar dan tidak. Nyonya sudah tidak kerja lagi. Nyonya sudah lama 'pencen', pencen tanpa bayaran gaji apa-apa.

Chow Kit

Emak kerja malam ini.  






Monday, May 7, 2012

PONDOK ABANG WAHAB


Ini contoh sebuah rumah pondok yang masih utuh hingga ke hari ini. Asalnya ialah kedai Lebai Wahab, abang saya. Rumah ini dahulunya pernah dikembarkan dengan rumah emak. Besar jadinya rumah kami pada ketika itu. Setelah emak meninggal dunia, rumah ini diasingkan dan dipindahkan ke bahagian hadapan Pondok untuk dijadikan kedai oleh Abang Wahab. Lama juga abang Wahab berniaga sebelum dia berpindah randah ke Kampung Tanjung, ke Lubuk Labi dan entah ke mana lagi.

Abang Wahab walaupun berbadan kecil, tetapi bekeng (bengkeng - chenge) orangnya. Hampir setahun saya dan Kak Aisyah tinggal bersamanya setelah emak meninggal dunia pada usia saya tujuh tahun (1972). Kami tiga beradik, hidup sekadar adanya sebuah kehidupan begitu sahaja. Tanpa peduli.

POKOK JARAK


Pokok jarak telah dikormisialkan. Bijinya dikatakan boleh dibuat minyak bio-diesel untuk kegunaan kenderaan. Saya tidak pasti kebenarannya walaupun telah tahu banyak ladang jarak diusahakan pada masa kini.

Kami mengenal pokok getah jarak yang ditanam sebagai tiang-tiang pagar sekeliling rumah. Pak Teh banyak menanam pokok ini kerana ia tidak dimakan binatang dan ia mudah tumbuh dengan biji keringnya yang telah tua.

Ranting jarak mengeluarkan sejenis getah. Apabila dipetik daunnya, getahnya akan meleleh keluar pada batang pokok. Kami mengambil getah ini untuk dijadikan belon-belon kecil. Terdapat lubang kecil pada ranting jarak (ranting daun jarak) yang boleh dijadikan penyedut/peniup untuk mengeluarkan belon-belon kecil apabila diisikan getah jarak dan ditiup ke udara. Gelembung belon-belon kecil keluar berterbangan untuk kami kibas terus naik tinggi ke udara.

Belon kami tinggi! 

Sunday, May 6, 2012

SEKOLAH PAKTEH


Malam tadi aku sampai ke kampung, sampai ke Pondok. Bertuah rasanya dapat kembali ke tempat tumpah darahku, tempat aku dibesarkan mengenal alam, mengenal Tuhan. Mad Chi memelukku erat, Ida juga amat teruja, aku sendiri mahu sahaja memeluknya jika bukan kerana Islam melarangnya, aku pasti lakukan begitu. Aku terlalu teruja, gembira. Syukur.

Lontaran pembesar suara ceramah di Sekolah Pak Teh mendorong aku untuk hadir, untuk ikut serta. Bukan sekadar mahu mendengar ceramah, yang terlebih penting aku mahu bertemu saudara mara dan guru-guru yang mungkin aku kenal, yang barangkali mereka masih kenali aku.

Lotehan ceramah menguja. Ia ibarat sebuah sendiwara dan lakonan penceramah, tukang karut yang boleh menghiburkan penonton danpendengar. Sesekali ada yang mengena atas batang hidungku akan isi ceramahnya.
Aku temui Makteh, Maklong Harah, dan itu sahaja yang aku kenal. Yang lain aku tidak berapa kenal. Seusai ceramah aku ke barisan hadapan. Ustaz Hadi Hj Haron masih aku kenal. Yang lain, aku bersalaman seolah-olah kenal, tetapi tidak kuketahui nama yang sebetulnya. Lupa.

Haji Husin aku kenal. Oh ya, tadi aku bertemu Kak Chah, tetapi aku lupa siapa namanya!
Berpelukan dengan Pak Teh, ternyata dia masih boleh berjalan walaupun kena dipimpin sebaiknya. Masih kuat walaupun fizikalnya sudah lama dimakan usia. Pak Teh tetap Pak Teh.

“Oh Ee, mu balik bila?”

Tiada seorang gurupun yang aku kenal di Sekolah Pak Teh. Aku mahu sahaja bertemu pelajar SPM atau PMR untuk aku berceloteh dan memberi semangat kepada mereka, tetapi aku hampa kerana tiada siapa peduli kehadiranku, selain orang-orang pondok yang berapa kerat masih aku kenal.  Sekolah Pak Teh benar-benar telah begitu asing dengan hidupku. Janggal.

Ya aku barangkali terlupa, ia bukan lagi Sekolah Pak Teh, tetapi Maktab Mahmud Padang Terap. 

MENCARI TASBIH KUNING


Derap langkah ku perlahan. Ku susuri pondok Mak Lang Nah yang pernah aku diami beberapa ketika dahulu. Hampa. Tiada lagi pondok Maklang di celah-celah beberapa pondok usang yang tidak teratur susunannya. Pondok Maklang telah tiada, hanya bekas tapaknya yang ada didirikan pondok lain yang pastinya bukan lagi pondok Maklang dahulu. Pondok Maklang rendah, pondok yang berdiri itu tinggi dan lebih tinggi daripada kepala seorang budak semasa aku kecil dahulu.

Malam pekat ku redah, berbantukan rembesan cahaya dari pondok-pondok berdekatan. Ku susuri pondok kecil yang pernah aku diami bersama-sama Kakak Aisyah. Ia juga tidak wujud lagi. Mungkin pondoknya telah dialih dan dibawa entah ke mana, atau barangkali telah dirobohkan dimakan anai-anai dan terbenam di dalam tanah.

Sepuluh langkah ke hadapan aku terlihat sebuah bilik air. Pastinya itulah telaga Paklang Yusup Besah yang gali dahulunya. Ia, ia sebuah telaga dan telaganya masih wujud. Masih digunakan orang-orang pondok. Cuma telaganya kini dalam sebuah bilik air tertutup. Tidak lagi terbuka seperti kami dulu-dulu.
Aku menjadi sayu. Sepi dan hampa. Tiada apa yang hendak dikesalkan, tiada apa yang hendak ditangisi kehilangan sebuah nostalgia yang begitu lama kami lalui. Aku sebak. Benar-benar sebak menahan rasa pilu pada sebuah memoir yang makin menghilang.

Lantas  aku kembali ke balaisah. Tangga asal balaisah telah diubah ke sisi bertentangan dengan arah kiblat. Diubah kerana kehendak zaman. Laluan ke rumah Pak Teh perlu dilebarkan, dan tangga itu menghalang laluan kenderaan keluar masuk. Ubah sahaja pintu naiknya di hadapan kiblat. Tidak apa. Tidak apa kerana jemaahnya bukan lagi selalu naik dan turun di sini. Pondok sudah ada sebuah surau baru. Surau baru sumbangan Tan Sri Mokhtar Bukhari.

Ruang balaisah masih seperti dulu. Raung mihrab yang dibuat oleh Chu Khit masih ada berfungsi. Rak-rak al-Quran juga masih utuh pada sisi mihrab imam, walaupun labah-labah telah lama bersarang  di situ. Aku mencari sesuatu. Aku mencari tasbih plastik berwarna kuning. Ternyata, ia tidak wujud lagi. Tasbih kuning yang kami pakai bertahun lamanya, yang butir-butir tasbihnya telah terkopak kehausan, telah tiada lagi. Aku hampa. Hampa kali ketiga pada malam yang sama.

Kolah di bawah balaisah masihutuh. Airnya jernih dan terisi hampir penuh. Mungkin ada yang menggunanya. Ia bikinan Paklang Yusuf Besah yang kami tahu dia seorang penggemar kopi yang amat fanatik. Tiada kopi, tiada kerja. Kolahnya masih kekal walaupun tuannya telah lama lenyap dimakan bumi.

Aku pulang hampa, seakan telah hilang segala lembaran hayat dalam hidupku. 

KEMARAU


Musim kemarau adalah musim sukar bagi kami. Setiap pagi Makcik kena ambilkan air di telaga kok; telaga tepi kebun untuk kami mandi ke sekolah. Dua baldi air, satu untuk Mad Chi dan satu untuk saya. Hanya awal-awal pagi telaga kok mampu mengalirkan air mata airnya untuk bekalan makan minum dan mandian kami. Jika terlewat sedikit, alamatlah hanya air berkeladak yang berbaki. Kuning dan berkarat.
Telaga lain sudah lama kering. Telaga Ayah tepi rumah awal-awal lagi sudah kering.

Kami menggunakan air sungai. Namun sungai agak jauh daripada rumah kami, tidak terdaya berpagi-pagi hendak ke sungai mengambil air. Selepas waktu sekolah, baharulah kami mengambil air sungai untuk minuman di rumah. Itu ketika sungai kami masih elok tidak tercemar.

Malang teramat malang apabila Kilang Gula Padang Terap mula beroperasi. Kotoran dan bahan buangan kilang terus dilepaskan ke sungai Padang Terap. Sungai kami berubah wajah. Sungai kami berbau busuk. Sungai kami tidak boleh digunakan lagi. Sungai kami jadi longkang busuk yang meloyakan semua orang. Tapi kami tidak dapat berbuat apa-apa. Kilang gula adalah sebahagian daripada kami juga. Anak-anak kampung kami berkerja di kilang itu juga. Emak-emak dan orang kampung kami bekerja di ladang tebu itu juga. Apa yang terdaya kami lakukan.

Itulah imbalan baliknya yang kami dapat hasil daripada pembangunan. Pembangunan ekonomi setempat, pembangunan untuk rakyat, setelah ribuan ekar tanah-tanah kami dijarah oleh pencipta teori ekonomi!
Sungai kami telah hilang segala jenis kehidupannya. Tiada lagi ikan, tiada lagi cheleng, tiada lagi siput sedut, tiada lagi mandi manda, tiada lagi pekaka menangkap mangsanya, tiada lagi udang-udang sungai yang kami seluk di bawah rumpai akar banir pokok ara, tiada lagi kami pandang akan sungai yang meloyakan itu. 

Kasihan sungai Padang Terap.

Saya masih kecil pada waktu itu.

Pada musim kemarau panjang, yang terlalu panjang tiada lagi sumber air yang ada. Maka ada yang menggali telaga di pinggir sungai. Telaga-telaga kecil kami gali beberapa meter dari tebing sungai. Di situ ada air, di situ kami mendapat air bersih untuk mandian dan basuhan kami, untuk minuman yang kami bawa pulang dengan gerek besar. Telaga Pak Ku Lah yang berdekatan kedai Pak Su Man Padang Gelanggang, antara telaga yang selalu kami guna. Ketika itu, tong-tong air berbagai jenis kami guna.Tong air besi juga kami guna. (Tong air besi air zamzam pada zaman Ayah ke Mekah dengan kapal).

Kami pernah mengambil air sejauh lima kilometer di Bendang Mengkuang berhampiran Bendang Pulai. Telaga tepi bendang jernih airnya membantu kami meneruskan hidup. Sesekali ada juga lori yang menghantar air ke pondok, maka berjajaran kami keluarkan segala tong dan tangki untuk mendapatkan air bersih.

Ah, inikan putaran alam. Kemarau hujan dan panas adalah putaran alam yang Allah tentukan jua.

TUNTUTAN DAPUR


“Orang lelaki ini senang”, keluh Shida. “Lelaki tak payah fikir-fikir nak masak apa.”

Saya diam.

Orang lelaki (para suami) lazimnya tidak pernah risau apa yang perlu dimakan, apa yang hendak dimakan. Asalkan ada terhidang, kami jamah. Kalau tiada langsung yang terhidang, kita carilah makanan apa yang ada di kedai-kedai tepi jalan.

Ayah kami dulu begitu juga barangkali.. Entahlah kami tidak pernah terfikir begitu keadaannya. Tetapi yang pasti, Ayah akan belikan ikan sesekali keluar ke Kuala Nerang, beli daging atau kerang. Ikan besar yang paling kami gemari ikan ploktan (ikan mayung) yang dibuat gulai. Sedap.

Yang pasti juga, ayah sediakan cheleng di sungai untuk kami pungut ikan pada musim kemarau. Musim bah, kami yang memancing ikan; tahan kail (tahan taut kata orang Perlis). Kadang kala guri di jemuran rumah ada dua tiga ekor ikan keli sebagai simpanan. Itupun hanya sesekali.

Kami sekeluarga turun ke bendang, tanpa terkecuali. Bermula dengan membuat tapak semaian, menajak rumput di petak sawah, menyedung, menabur baja, menjaga padi dimakan burung, mengerat (sebelumnya mengetam), dan memukul padi. Tidak sudah di situ sahaja. Padi di rumah kami anginkan dahulu sebelum dibawa masuk ke jelapang untuk simpanan setahun makanan kami.

Orang lelaki dan perempuan sama-sama bekerja. Tiada yang terkecuali.

Bahkan orang perempuan tentunya lebih banyak tugas mereka.

Dalam perjalanan pulang dari bendang, mereka sempat memegang serkap untuk menyerkap beberapa ekor ikan untuk dijadikan lauk. Dapat dua tiga ekor ikan keli atau haruan sudah cukup untuk makanan pada hari itu. Ada yang membawa sodok (penyodok) mengirai-ngirai di tepi lubuk mengutip beberapa ekor anak ikan dan udang dijadikan lauk asam pedas. Sayur tidak perlu pada menu kami.

Sambil mandi-mandi di telaga, orang perempuan akan membasuh beberapa helai baju yang sudah terlalu kotor. Mandi dan basuh serentak, sebelum mereka masuk ke dapur untuk masak tengah hari. Bahan masakan, sekadar apa yang ada. Tidak sempat menggiling, tumbuk sahaja di lesung batu. Hanya kelapa yang perlu diparut dan diperah untuk masakan gulai yang menjadi menu utama sekeluarga.

Tentunya Shida lebih senang menghadapi ‘tuntutan dapur’ pada hari ini berbanding emak-emak kami dahulu. 

SEMUANYA KAMI MAIN


Kami amat dekat dengan alam. Alam juga amat dekat dengan kami. Kami memahami alam, alam juga memahami kami. Kami dan alam adalah satu kesatuan yang padu. Kami dan alam bergerak seiring mengiringi perjalanan hari yang bergerak tanpa henti. Kami menghargai alam, kami memanfaatkan alam untuk kami hidup, untuk kami nikmati begitu-begitu sahaja.  Tidak lebih daripada itu. Kami kuasai alam bukan untuk jadi kaya, jauh sekali untuk menjerih orang lain.

Kami bermain dengan don nyor keghing (daun nyiur kering). Daun kelapa kering yang bergulung itu kami jadikan pemegang baling-baling. Sejengkal daun kelapa hijau kami jadikan kipas baling-baling yang dicucuk lidi lalus, lidi halus itu dimasukkan ke dalam pemegangnya. Apabila kami berlari, baling-baling kami akan berpusing. Ringkas. Lebih mudah saya gantikan daun kelapa kering itu dengan straw yang lebih rata dan senang untuk memusingkan baling-baling. 

Kami belajar menghargai walaupun hanya sehelai daun nyor kering.

KAMBING DAN BIRI-BIRI 2


Pakteh memelihara sekawan biri-biri. Jumlahnya bertambah dan berkurang antara 8 – 15 ekor. Ayah juga memelihara biri-biri dengan jumlah yang sama. Baka biri-biri kami dapat dari Kampung Teluk Jamat. Ayah buat kandang biri-biri di bawah jelapang padi, begitu juga Pakteh.

Sejak ada biri-biri, maka bertambah lagi satu tugas kami. Kami kena lepaskan biri-biri pada waktu pagi dan petangnya sebelum Maghrib dihalau masuk ke kandang. Setiap hari tanpa terkecuali, itulah tugas kami. Hisyamudin menghalau biri-birinya masuk ke kandang Pakteh, kami di kandang kami.

Paklong Pi memelihara kambing kampung. Banyak juga berjejeran merata tempat. Kambing Paklong Pi subur membiak, sentiasa ada anak kecil yang menyusui. Kami suka juga menangkap anak-anak kambing yang lincah dan menggosok kepalanya sebelum ibu kambing marah. Lebai Wahab juga memelihara kambing. Kambingnya dilepas sepanjang waktu siang dan malam. Kambing Lebai Wahab seolah-olah tidak bertuan, tetapi kami tahu itu kambing Lebai Wahab. Tahu juga bila waktunya hendak disembelih. 

KAMBING DAN BIRI-BIRI


Orang Kedah malas. Orang Kedah dikatakan malas kerana mereka tidak rajin bercucuk tanam. Mereka ada kampung halaman, tetapi kampung halaman penuh dengan semak samun tidak terjaga. Mereka ada kebun getah, juga penuh semak samun. Mereka ada bendang, tetapi hanya setahun sekali bertanam. Orang Kedah malas.

Sakit hati juga apabila orang komplin perihal kami. Sakit hati juga mereka sedap-sedap kutuk, bila mana sesekali mereka datang bertandang ke kampung kami.

Kampung kami susah hendak bercucuk tanam. Hendak tumbuhkan pokok kelapa pun kena kepung dengan pagar duri, atau biarkan ia tumbuh di sebalik belukar kecil agar tidak dikesan kambing dan lembu, biri-biri dan kerbau. Kami tidak bertanam sayur mayur kerana sayur mayur selalu dimakan kambing dan lembu.
Jika mahu bertanam, mestilah membuat pagar yang cukup kukuh, cukup kuat untuk menghalang lembu, kerbau, kambing dan biri-biri merempuh masuk dan memakan tanaman kami. Itu tidak mungkin kami mampu mengadakannya dengan pagar dawai mata punai mahupun dengan pagar jaring setengah inci dan satu inci. 

Kami tidak mampu.

Sudahnya, kami hanya memetik pucuk-pucuk ubi yang tumbuh meliar di tepi pagar, yang tinggi tidak tersampai kambing memanjatnya. Kami makan petola yang terselamat daripada diragut biri-biri dan kambing.

Jika adapun pokok buah-buahan kami  tanamnya di dusun. Dusun jauh dari kampung kami. Dusun Kampung Raja dan dusun Kampugn Eto jauh dari perkampungan, maka jauhlah daripada lembu, kambing dan kerbau. Di sana kami dapat tanam pisang dengan segala jenis pisang, kami dapat tanam rambutan dan durian dengan segala jenisnya.

Kenapa lembu, kambing dan biri-biri tidak ditambat?

Lembu kami tambat pada musim padi. Musim tidak ada padi, kami lepas bebas sekampung. Begitu juga kerbau. Kambing tidaklah pula kami tambat kerana susah juga hendak dijaga sekawan kambing dengan anak-anaknya. Biri-biri hanya dikurung pada waktu malam, waktu siang waktu mereka dilepas bebas mencari makan. Itulah amalan kami warga sekampung, tiada siapa yang mahu komplin.

Lembu, kerbau, kambing dan biri-biri adalah harta kami. Harta kami pada waktu terdesak dan tersuntuk!

Thursday, May 3, 2012

SARANG BURUNG


Sarang burung seperti ini sering kami temui di dalam kebun getah, belukar tepi rumah mahupun di dusun durian. Ketika menebas dusun durian, kami pastikan sarang burung ini tidak ditebas; dibiarkan begitu supaya penghuninya masih punyai sarang untuk berteduh. Sesekali jika kami temui telurnya, pasti sebijinya kami makan. Bakinya masih ada di dalam sarang burung kecil di bawah sehelai daun lebar.

Malangnya hari ini kenapa ramai orang kita yang mengambil sarang burung tempua yang cantik dianyam oleh seekor burung yang tidak berakal. Diambil oleh seorang manusia yang berakal! Terdapat dua jenis sarang burung tempua; sarang untuk bertelur dan sarang untuk berbuai; bermain. Manusia ganas tidak pernah punyai perasaan untuk menilai; sanggup merampas sarang burung untuk bertelur; dan terlebih hina ia dijadikan barang jualan (nilai kebendaan) dengan memusnahkan rumah kediaman seekor burung kecil tidak sepertinya.

Jika kita menghargai alam dan kehidupan, alam akan menghargai kita dan kehidupan kita. Hentikan perbuatan memusnahkan sarang burung jika ia sekadar hiasan di laman rumah atau pintu-pintu warung kedai makan. Katakan tidak kepada perbuatan jenayah tidak berperikeburungan seperti ini.



Wednesday, May 2, 2012

PERJALANAN

Perjalanan jauh memenatkan. Ia berbaloi apabila hajat tertunai.

Khamis 26 April, ke Sepang program RMI.

Jumaat 27 April, 3.00 petang kami bertolak ke UiTM Pulau Pinang menghadiri Konferensi Pendidikan Islam CITU. Bercadang mahu bertolak awal pagi jam 5, tetapi mendapat berita kematian Fara anak Kak Pah jiran selorong di TY, kami tangguhkan sehingga selesai pengurusan jenazah.

Singgah makan di Gelas Besar Food Court, memang berbaloi. Boleh makan sampai puas dengan sistem gerai - order bayar dan makan. Banyak pilihan. Saya pilih nasi gulai kawah batang pisang.

Sabtu, 28 April: Dato' VC begitu bersungguh-sungguh mahu melihat CITU maju dan terkehadapan. Program pengantarabangsaan diberikan kepada CITU terutamanya dengan negara umat Islam minoriti. Ini tugas berat yang perlu kita pikul bersama. Selain mewujudkan pusat Akademik untuk CITU, soal perpaduan ummah sewajarnya menjadi agenda CITU dalam konteks negara ini.

Pekan Rabu masih seperti dulu. Abang Sanusi diraikan hari ulang tahunnya. Pak Teh masih boleh berjalan, walaupun langkahnya amat perlahan dan berhati-hati.  Mendengar ceramah seperti dalam majlis seloka tukang karut dulu-dulu jua.

Ahad; peluang bersama anak-anak di SKPT. Terubat rindu dengan SKPT. Mahu saja aku berbakti saban tahun di sini, di sini tempat pertama aku mengenal huruf.

Bertolak pulang ke Sekinchan pada malam Isnin. Isninnya cuti walaupun ada dua agenda penting; MPE dan majlis perpisahan Tuan Haji Yusuf, Timbalan Bendahari Kanan UiTMJ.

Isnin; urusan keluarga di ofis.... ziarah sedara mara.

Selasa: ketupat palas, dan pulang ke Segamat. Ain Hanani di TKC.

Berbaloi.

Wednesday, April 25, 2012

CHELENG DAN SAT

CHELENG dan SAT sejenis alat perangkap ikan yang diperbuat daripada buluh dan akar (atau rotan). Cheleng lebih besar sepanjang dua depa orang dewasa dengan permukaan lilitnya sebesar roda basikal. Ia diletakkan di sungai - kawasan lubuk sungai- dengan dimasukkan ranting dan dedaun sinai sebagai umpan ikan keli, haruan, baung, sepat dan selar. Ikan keli suka menggigit kulit dahan sinai mananaka ikan-ikan lain menjadikan reba sebagai sarangnya.

Cheleng kami letakkan semalaman dengan diikat tali di bahagian permukaannya sebagai tanda untuk kami menariknya ke atas. Biasanya dua orang diperlukan untuk menaikkan cheleng untuk *digohkan di tebing sungai yang terdapat sedikit lubang yang dikorek. ikan keli dan haruan menjadi kegemaran kami, kalau ikan baung, ia dimakan juga tetapi tidaklah begitu istimewa.

(Orang Segamat gemar makan ikan baung, sedangkan kami tidak beranggapan begitu).
(*Goh: mengetuk-ngetuk untuk membuangkan sesuatu; 'mu goh-goh gitu ke teghebit le'; kamu ketuk-ketuk begitu, terbitlah..)

Saya tidak pernah tahu bila ayah membuat cheleng, siapa yang membuatnya untuk ayah, atau ayah yang bikin sendiri dengan Paklong Pi. Kami hanya tahu memungut hasil untuk dibawa pulang.

Biasanya pada musim bendang, sebelum Zohor kami berbasikal berduyun-duyun ke sungai untuk mengangkat cheleng dan mandi manda. Kami pulang membawa hasil ikan untuk dimasak ketika itu juga sebelum dimakan selepas solat Zohor.

Sat diperbuat daripada buluh dan akar kayu. Konsepnya sama seperti membuat bubu atau lukah. Kami pasang sat di gelong perbatasan bendang. Ia dipasang pada musim air jenuh, air banyak di bendang (ketika padi membesar). Gelong -saluran air- yang berarus antara dua petak sawah biasanya menjadi laluan ikan, maka di situlah kami pasang sat. Semalaman kami pasang sat dan keesokannya kami memungut hasil. Dapatlah ikan keli, haruan, puyu dan udang-udang kecil untuk dijadikan lauk pauk. Budak-budak pondok selalu memasang sat bagi memudahkan mereka mendapat ikan untuk makanan harian selepas pulang dari Sekolah Agama Ahmadiah, Padang Terap.

Tapi ingat, jangan ambil hasilan sat orang lain, berdosa. Tidak halal.

HUJAHAN POLITIKUS KECIL

Ketika hampir pilihanraya, muncullah ramai tokoh politikus kecil dengan berbagai idea dan hujahan untuk membenarkan apa yang dibawa, apa yang dipercayai. Antara hujahan biasa yang kita dengar, melucukan bahkan boleh dipatahkan sekelip mata.

Perhatikan hujahan klasik ini;

1. Awak kerja kerajaan, gaji kerajaan yang bayar, wajib sokong kerajaan.

Jika begitu, tiadalah ertinya demokrasi, jadilah sahaja negara diktator atau negara feudal. Seperti juga Mashitah, wajib sahajalah dia mentaati Firaun. Kenapa Mashitah melawan Firaun? Ataupun boleh difikirkan begini; saya menjadi guru agama di Kelantan/Selangor, maka wajiblah saya menyokong kerajaan Kelantan/Selangor kerana kerajaan Kelantan yang membayar gaji saya...

2. Dia mendendangkan lagu 'Anak kecil bermain api, terbakar hatinya yang sepi.. bumi dipijak milik orang...

Kelemahan orang Melayu telah diketahui umum walaupun berbagai usaha kerajaan lakukan. Bila dipersoalkan 'bumi dipijak milik orang', soalnya; di tangan siapa kes ini terjadi? Siapa yang memimpin negara ini setelah 50 tahun merdeka? Bukankah orang yang sama juga? Sudah 50 tahun mentadbir negara, pun masih begitu juga keadaan bangsa Melayu? Siapa yang menggadai tanah-tanah Melayu jika bukan pemimpin yang sama juga?

Kelemahan bangsa Melayu tidak boleh dijadikan alasan untuk memancing undi, tetapi kelemahan ini wajib diperjuangkan sampai bila-bila, oleh siapa sahaja.

3. Peristiwa 13 Mei, siapa punya angkara?

Usah bicara soal 13 Mei, kerana yang menang itu adalah parti Cina yang bernaung di bawah Parti GERAKAN. Parti ini adalah kompenan kita juga. Malah senang dicerita, biar siapapun, Cina tetap Cina yang mencari ruang dan peluang untuk berkuasa dan menguasai sampai bila-bila.

Apa yang hendak dimarahkan orang Cina? Sedangkan mereka juga adalah sekongkolan dengan parti yang ada pada hari ini daripada kedua-dua belah pihak.

4. Hilang Singapura, Pulau Pinang tinggal kenangan

Pada zaman siapa Singapura itu hilang? Pulau Batu Putih juga hilangnya di zaman siapa? Pulau Pinang yang tinggal kenangan untuk orang Melayu, itu juga angkara siapa puluhan tahun lamanya sebelum diambil alih oleh orang yang 'sama' lewat PRU12?

Kadang kala hujahan longgar seperti ini sekadar menampakkan kekurangan kita dalam menerima dan menghayati konsep demokrasi, dan ada kalanya ia sekadar ucapan dan lotehan yang memualkan.

Saya suka mendengar daripada kedua-dua belah pihak, tapi banyak yang tidak betul daripada yang betul. Setiap lontaran hujahan, pasti ada jawapan yang terbalas di dalam diri...

Rasa lebih selesa mendengar hujahan Tun Mahathir dan DS Najib berkempen, yang memahami realiti massa dan erti demokrasi. Kita bekerja dan kita buktikan kepada rakyat yang kita memang bekerja bersungguh-sungguh.

KURA-KURA


Kura-kura pandai bersembunyi. Susah mahu dicari jika tidak kebetulan bertembung dengan makhluk primitif ini. Kami tidak memelihara kura-kura kerana ia binatang bebas yang sesekali kami temui telurnya untuk dimakan.

Pernah sekali Makcik Melah membela seketika kura-kura untuk dibuat ubat menjinakkan kerbau. Kura-kura yang diletakkan di dalam tin minyak berair, diberi makan keladi. Airnya digunakan untuk menyiram kerbau untuk dijinakkan. Saya tidak pernah melihat amalan ini, cuma sekadar diberitahu Makcik sebegitu.

Menemui anak kura-kura adalah suatu yang cukup seronok. Kami pegang dan timbang ke sana sini sebelum ia hilang begitu sahaja. Kehadirannya kami hargai.

Pesawah tidak berapa gemar dengan kura-kura besar kerana dia memakan umbut padi yang baru tumbuh. Saya pernah melihat seekor kura-kura besar yang diselit di celah batang kayu, terkapai-kapai dia hendak melepaskan diri. Namun tidak berjaya. Saya sendiri hendak melepaskan, tetapi dibimbangi dimarahi oleh tuan padi. Entahlah. Kasihan saya membayangkan kura-kura itu terdera beberapa lama.

Tuesday, April 24, 2012

MENDALA DUNIA KEDUA - AZIZI

Mengunjungi satu pameran buku, saya terpandang Mandala Dunia Kedua hasil tangan Azizi Abdullah, sebuah novel terakhir arwah. Saya catatkan di pemuka depannya; ‘Kudakap erat novelmu ini sebagai tanda persahabatan antara kita yang kekal abadi dalam dunia persuratan. Engkau idolaku dalam pengkaryaan. Semoga Allah melapangkan pemakamanmu.”
 

Sima dan Jone menjadi peneraju utama dengan latar kekecewaan yang hampir sama. Sima kecewa dengan suaminya Kadir Shah yang bermain kayu tiga dengan orang gaji, sedangkan Jone dipermainkan oleh isterinya.  Atas kekecewaan dan kedukaan, mereka ditemukan di tepi kolam lalu membawa kepada ke alam dunia baru di hutan belantara.

Azizi membawa watak Jone dan Sima untuk memperkenalkan hutan belantara, lantas menjadi pejuang alam yang bisa diroboh oleh tangan-tangan yang berlesen.

Monday, April 23, 2012

KADANG KALA

Kadang kala aku teringat sangat kepada 'girl friend' aku tu. Teringat sangat kat dia. teringat sangat sehingga timbul rasa bimbang dan rindu. Adakah kerana dia ada masalah yang berat menjerat dirinya, adakah kerana ada sesuatu yang tidak kena dengannya?

Dalam banyak hal, telahan hati ini benar. Benar dan tepat.

Ah, aku rindu. Aku rindu kepadanya; yang kadang kala ingatan ini tidak pernah seperti ini, sebelumnya.

Ya Allah rahmatilah kami..

(Alahai, sekada melepas geram pada jemari untuk terus menulis..)

Tuesday, April 17, 2012

DAUN PISANG


Daun pisang di rumah tidak dibenarkan dicantas tanpa alasan munasabah. Untuk membuat lepat, nasi lemak, bengkang (bingka), buah melaka; kami dibenarkan mengambil daun pisang dengan memotong pelepahnya. Bagi budak-budak perempuan, daun pisang boleh dibuat tikar. Dianyam seperti sebuah tikar yang terlalu kecil untuk diduduk. Untuk main pondok-pondok, cukuplah bagi budak-budak perempuan membuat tikar daun pisang.

Pelepah pisang kami jadikan senapang; senapang laras satu, laras dua, laras tiga atau empat. Mudah. Hanya potong bahagian lapisan atas, dikepakkan lalu digoyang-goyang untuk menghasilkan bunyi. Pek pok pek pok pek pok. Itulah senapang batang pisang. 

Cebisan daun pisang pula kami gulungkan untuk dijadikan serunai. Serunai daun pisang. Emak membuatnya lebih baik dengan dicucuk bilah lidi supaya gelungan serunai tidak terbuka. Kami main ringkas sahaja; asal bergulung dan lidah bunyinya boleh bergetar; cukuplah untuk kami tiup dua tiga kali sebelum dibuang begitu sahaja. 

Sehelai daun pisang, pelepah dan buahnya. Ada makna yang tersirat.

POKOK BEKA, POKOK MUNGAI


Kami panggil pokok munge (mungai) yang bahasa bukunya pokok ? . Ia sayur tradisional yang sukar dicari masa kini. Kami tanam pokok ini sebagai tiang-tiang pagar yang mampu bertahan lama; bertahun-tahun menghasilkan buahnya untuk dibuat sayur. Sayur turi biasanya dimasak gulai dicampur  siput bendang ataupun ikan kembung. Turi yang muda memang enak dimakan, jika sudah tua ia tidak berguna lagi, kami memetiknya sekadar membaling lembu yang masuk ke dalam pagar rumah.

Satu hari Maklang Nah memetik buah beka (orang Johor memanggilnya buah parang) yang masih muda. Buah beka sejenis buah hutan yang berbentuk seakan-akan parang. Pokoknya boleh membesar dan tinggi. Maklang Nah membuat kerabu buah beka yang dipotong nipis-nipis; maaf saya tidak dapat memakan kerabu beka Maklang kerana rasanya terlalu pahit. Mak Lang tak kisah. Hanya beberapa batang pokok beka lagi yang masih zahir di permukaan bumi ini. Sepokok dua sahaja sebelum lenyap.

MENGKUANG


Mengkuang sejenis pokok daun berduri yang boleh dijadikan tikar, bakul, sumpit, beg, hiasan dan sebagainya. Mak Lang Nah dan Mak Cik Melah rajin mengayam tikar mengkuang. Daun mengkuang  akan dibuang durinya terlebih dahulu. Duri dibuang menggunakan pisau raut yang kecil, duri pada tulang dan pada sisi daun kiri kanannya.

Setelah dibuang duri, daun mengkuang yang lebar akan dikecilkan dengan saiz yang standard menggunakan janget (jangat). Jangat diperbuat daripada buluh dengan tiga mata (besi) tajam mengikut saiz tertentu. Saya biasa menolong Mak Cik dan Maklang menjangat mengkuang sebelum dijemur sampai kering.
Setelah dijemur, mengkuang akan direndam mengikut warna (menggunakan bahan pewarna) yang dipilih. Biasanya warna merah, hijau dan jingga.

Sebelum dianyam, daun mengkuang yang diwarnakan perlu diluruskan (disamakan) daripada begulung-gulung bagi memudahkan pengayaman. Ia cukup dengan menggunakan bilah buluh sebagai peraut.
Melagang tikar bukannya tugas mudah. Saya tidak pernah belajar dan tidak pernah tahu. Saya hanya membantu menganyam setelah dilagang (dibentangkan dan dibuat rangka asas) yang bermula daripada bahagian tengah tikar.  Corak bunga labu sering menjadi pilihan, jika tidakpun corak selang seli batik.

Tikar yang besar digunakan untuk ruang tamu, tikar bersaiz kecil untuk bayi yang baru lahir. Selalunya kami hadiahkan tikar-tikar kecil ketika menziarahi mereka yang baru mendapat anak, ataupun ibu-ibu yang mengandung. Seingat saya, Shida mendapat beberapa helai tikar mengkuang ketika mengandung anak pertama kami, Afif. Manakala tikar bersaiz sederhana disediakan untuk pengurusan jenazah di kubur. Tikar yang jenis ini kami pastikan ada pada setiap masa. Disimpan dan tersimpan dengan baik; diketahui.

Mak Cik Melah rajin mengayam bakul mengkuang. Gunanya untuk menyimpan padi di jelapang, mahupun untuk urusan pemprosesan padi; menjemur padi, menyukat padi, menjujung barangan dan sebagainya. Kami hanya membantu Mak Cik Melah menganyam menggunakan bilah buluh kecil yang diraut sempurna. Bilah buluh ini jangan dihilangkan, nahas.

Sumpit mengkuang kami isikan dengan makanan seperti pulut pisang dan kuih muih. Buah-buahan hutan juga boleh dimasukkan ke dalam sumpit dan diikat di mulutnya agar tidak tumpah (terkeluar). Mengkuang  yang tumbuh meliar di pinggir bendang, kini semakin layu dan pupus ditelan zaman. Biarkan!

BAS, BASIKAL DAN JALAN KAKI


Berjalan kaki menjadi kebiasaan kepada kami. Setakat 4 – 5 KM itu perkara biasa (ukuran batu yang digunakan ketika itu). Kami berjalan kaki dari Pondok ke Padang Gelanggang, Kampung Tanjung, Kampung Pisang, Sungai Sari, Lubuk Labi, Kampung Taban. Ke Kedai Hasan, kedai Wahab, kedai Pak Yeh, kedai Pak Tam, kedai Dahaman; memang kami berjalan kaki, termasuklah ke sekolah.

Pernah juga kami ke Bendang Raja (rumah Mak Cik Yah) berjalan kaki. Kami naik bas hingga ke Kuala Nerang, dari Kuala Nerang ke Bendang Raja tiada lagi kenderaan, lalu kami berjalan kaki. Yong, Makcik Melah dan kami (Mad Chi dan saya) tidak kisah dengan perjalanan seperti ini. Kebetulan ada kereta Morris Minor yang menumpangkan kami setelah separuh perjalanan kami lalui. Setelah habis kenduri tahlil malam itu, kami menumpang tidur dan pulang keesokan harinya.

Dalam masyarakat tradisi, kita tidak kisah menumpang tidur di rumah saudara mara. Tiada apa yang tidak kena. Sayangnya ia menjadi semacam janggal pada masa kini. Kita yang meletaknya sebegitu.
Orang lelaki dewasa kebiasaannya memiliki gerek (basikal). Basikal besar, basikal tua. Ayah mengayuh basikal tuanya setiap hari kerana itulah kenderaan terbaik yang kami punyai. Basikal ayah, milik ayah. Jarang kami menggunanya. Basikal kami, basikal kami yang kami main. Basikal yang kami main biasanya bersaiz sederhana – sedang-  lebih kecil daripada basikal besar.

Saya kerap menemani Ayah berkenduri dan solat mayat membonceng belakang basikal besarnya. Kena jadi baik, kena ikut Ayah bertahlil, baca qulhu, marhaban dan berzanji di merata kampung kerana itulah tugas Ayah sebagai seorang imam.

Ketika Darjah Tiga, Ayah berikan basikal kecil (bersaiz kecil, bentuknya sama seperti basikal besar, basikal tua) kepada saya. Lama juga saya cuba menatih basikal kecil, jatuh dan bangun, luka dan darah. Saya belajar naik di celah (naik celah) dahulu sebelum benar-benar mahir baharulah naik di atas dan duduk di tempat duduk basikal. Semasa naik di celah, pernah saya terjatuh dan lengan saya tersadung dawai kawat pagar dan berdarah beberapa ketika. Itu perkara kecil untuk diberitahu kepada sesiapapun!

Bas RIDA (bas MARA) menjadi pengangkutan awam yang utama. Prevek sapu dan teksi memang ada, tetapi tidak banyak. Paksu Man selalu menjadi prevek sapu pada laluan Padang Sanai ke Kuala Nerang dengan berbagai jenis kereta miliknya. Terutamanya hari Selasa dan Sabtu, ada Pekan Nat di Konerang. Kami naik bas ke Pekan Kuala Nerang (Konerang). Ada kalanya emak membawa getah sekerap untuk dijual di kedai apek di tepi sungai Kuala Nerang. Kami tidak kisah. Ada yang membawa ayam hidup dan pisang di atas bas. Kami tidak kisah. Itukan kehidupan kami.  Pernah emak tertinggal ikan yang dibeli di Kuala Nerang, terpaksalah kami tunggu bas berkenaan turun semula dari arah Padang Sanai untuk mengambil ikan. Ikannya tidak hilang. Itulah satu-satunya bas yang kami naiki di laluan Padang Sanai – Kuala Nerang. Tiada yang lain.

Saya rakamkan penghargaan terima kasih kepada Pak Teh Drebar, yang terlalu lama membawa bas; dia kenal kami dan kami kenal dia ibarat sebuah keluarga yang saling bergantungan. 

Monday, April 16, 2012

JENIS YANG BERBUNYI


Banyak jenis yang berbunyi menjadi permainan kami. Kebanyakannya kami buat sendiri. Bilah (ranting) tayar basikal boleh menghasilkan bunyi. Di penghujung ranting basikal terdapat kepala kecil berbentuk skeru yang berlubang. Kami sumbatkan karbait kepala mancis ke dalam lubang kecil ranting basikal satu persatu. Sumbat sehingga mampat dan kami masukkan paku ke dalam lubang lalu diketuk di atas batu. Hentakan kecil itu menghasilkan satu letupan bunyi.

“Peh!”

Makcik mesti marah apabila didapati mancisnya cepat habis.

“Mume buat pa denge goreh api ni, habhis...”

Senapang buluh yang kami panggil chaplong adalah mainan tradisi yang tidak pernah terpisah. Meriam buluh jarang kami main kerana tiada buluh besar untuk dijadikan meriam. Kami beralih kepada meriam tanah. Meriam tanah kami bikin di atas pungsu (busut) di tepi jalan berhadapan balaisah. Sebuah lubang ditebuk sebagai laluan utama letusan dan pengisian karbait, dan di penghujungnya ditebuk lubang kecil untuk dicucuhkan api (dinyalakan api). Karbait yang diisi di dalam tin bersama air, ditolak masuk jauh ke dalam lubang dan disumbat dengan kain-kain tebal (dan juga batu-batu kecil). Setelah beberapa detik, kami nyalakan api melalui lubang kecil di atas permukaan tanah dan letupan kuat mengiringi gelak ketawa, terhambur. Meriam kami berbunyi.

“Eh, wokpala budak-budak ni hinge sangat ni!” marah orang-orang tua penghuni pondok.

MENCARI KAYU API


Ia bukan cerita dongeng dalam hikayat klasik yang pernah kita baca. Ia kisah benar yang kami lalui. Mencari kayu api adalah tugas lain yang perlu dibuat bersama-sama dalam sebuah keluarga. Paran kayu api hendaklah sentiasa penuh, kayu hutan yang kecil mahupun kayu getah yang besar seketul-seketul.

Kayu getah yang besar perlu digergaji dalam setengah meter panjang sebelum dibelah dengan kapak. Saya tidak sekuat Mad Chi untuk membelah kayu-kayu getah yang besar. Biasanya kayu getah yang kecil dan tidak beruas lebih mudah dibelah dan itulah pilihan saya. Mad Chi lunaskan yang berbaki, cheewah.

Kayu-kayu hutan sebesar lengan kami tebang dan berkas dengan akar. Akar palas lebih mudah dicari, daripada akar yang lain. Asal ada akar, kami ikat. Kami junjung bawa balik seberkas-seberkas ke rumah. Di rumah kayu-kayu perlu dipotong sehasta-sehasta sebelum disusun seperti bangunan kecil untuk dikeringkan. Setelah kering barulah kayu berkenaan diletakkan di atas paran di bawah rumah bagi mengelakkan terkena hujan. Kayu yang betul-betul kering memudahkan urusan memasak di dapur.

Ada kalanya kami mencari ranting-ranting getah di tepi rumah. Saya pernah memanjat pokok-pokok getah untuk membuang dahan-dahan mati untuk dijadikan kayu api. Ia lebih mudah dicari, lebih mudah menyala dan lebih cepat habis berbanding kayu-kayu hutan.

Kayu api, hutan dan keringat begitu akrab dalam kehidupan kami.

LEMBU JANTAN HILANG


Ayah tugaskan saya untuk menjaga lembu. Sekawan lembu tidaklah berapa ekor, 7 - 12 ekor sahaja. Namun ia tetap satu tugas yang perlu dibuat. Pada musim padi (kami sebut ‘menanam padi’) lembu-lembu perlu ditambat, tidak boleh dilepas. Bimbang akan merosakkan bendang orang.  Ibu-ibu lembu dan jantannya perlu ditambat. Tambat pada anak-anak pokok gelenggang atau anak pokok rumput yang kuat. Tali perawan dicucuk pada hidung lembu, manakala tali penambat disambungkan ke tali perawan sepanjang 10 meter untuk membenarkannya meragut rumput. 

Sesekali Ayah sediakan pancang diikat pada tali lembu dan dipasakkan ke bumi.  
Lembu kami tidak dipasang ketuk-ketuk. Kerbau dan lembu Pak Long Pi biasanya dipasang ketuk yang diperbuat daripada kayu digantung di lehernya. Apabila lembu hilang, kononnya memudahkan sipemunya mencari di sana sini.

Saya kena pastikan lembu mendapat makanan yang cukup. Perlu dibawa ke telaga untuk diberi minum, ataupun ke pinggir sawah. Tapi itu bahaya kerana jika termakan padi, alamatlah kena marah. Lembu yang ditambat perlu dialihkan beberapa kali dalam sehari. Menceduk air telaga ke dalam besen untuk minuman lembu, suatu kebiasaan yang jelak.

Suatu ketika Ayah melepaskan lembu di kawasan belukar yang terkepung dek hutan. Lembu-lembu hanya perlu dilepaskan pada waktu pagi dan dibawa pulang pada waktu petang. Rutin ini lebih mudah berbanding perlu dialihkan tambatannya setiap dua jam! Saya perlu membawa lembu ke belukar (Kampung Baru ke arah bendang Chucuh) hampir setiap hari. Kadang kala dengan Mad Chi, kadang kala dengan Kak Aisyah. Kami hanya tarik ibu lembu dan lembu jantan, dan yang lain akan menurut di belakang.

Saya kenal lembu kami. Lembu kami juga kenal akan kami. Jumpa di mana-manapun lembu, tetap kami akui;  ‘Ha, itulah lembu kami.” Sekawan.

Suatu hari lembu jantan besar hilang. Sudah tiga hari lembu jantan tidak ditemui. Ayah mencari ke sana sini, namun tidak ditemui. Akhirnya ayah meminta saya untuk mencari lembu jantan itu.

“Ah, saya yang kena cari?’

Akur, akur tanpa bantah. Saya ke hutan belukar arah jalan ke bendang Chucoh, masuk ke simpang kanan ke tengah hutan. Itulah naluri saya. Naluri kecil seorang anak kecil kerana menunaikan suruhan Ayah. Takut memang ada, tetapi hutan belukar itu tempat mainan dan tempat mencari kayu api seberkas dua.
Alhamdulillah. Saya temui lembu jantan yang hilang. Jeratnya tersepit antara celahan pokok, sedangkan hidungnya luka berdarah yang tidak kuat lagi untuk menarik tali yang tersangkut. Kasihan. Kawasannya telah jadi gelebuk dek beberapa hari terperangkap di situ.

“Mu jupa lemu di mane?” Tanya Ayah.

“Di hutan jalan ke Chucoh..”

“Emm..”. Ayah berterima kasih, tetapi suara Ayah tidak pernah terlafaz perkataan ‘terima kasih’.

Saya mengerti. 

JAHLELAWATI DAN RADIO SINGAPURA


Radio satu-satunya alat komunikasi dan hiburan kami. Kami ikuti setiap rancangan yang dipaparkan, dan semua yang diperdengarkan adalah baik dan menghiburkan. Semuanya kami terima tanpa bantah, tanpa dipersoalkan langsung. Barangkali kerana itulah pilihan yang ada, pilihan yang satu itulah yang terbaik buat kami.

Drama radio yang paling popular bersiaran dari Radio Singapura, drama syair ‘Bila Kiambang Bertaut’ hasil karya Jahlelawati. Ia bersiaran setiap hari Ahad tengah hari,merupakan drama bersiri yang kami ikuti saban minggu. Muzik pengenalannya sudah cukup untuk memberi debaran kepada pendengar. Syair yang dikumandangkan berupaya memberi kefahaman pada jalan cerita.

Intisari radio begitu penting kepada kami. Drama bersiri setiap pagi ‘Rumah No 5, Persiaran 13’ di depannya masjid, di  sebelahnya mini market... (?)” menjadi trademark dan bahan bualan sesama kami. Kami ikuti rancangan’Kak Yong bersama adik-adik’, ‘mari berpantun’, ‘Jamal Pendek – dengan irama ‘rasa sa yang yeh, rasa sa sa yang sa yang yeh..’, lagu-lagu permintaan (antara Indonesia dan Malaysia) yang menggunakan pos kad, dan beberapa yang lain.

Ah, apalah ada pada rancangan radio kami pada waktu itu. 

SENAPANG KAYU


Di kedai Pak Tam ada dijual pistol mainan, pistol mancis. Ia diperbuat daripada besi dengan bidiknya seperti pistol benar. Pelurunya dalam gelungan merah berbintik-bintik hitam yang dijadikan peletup setelah bidik ditarik. Kami mahu memiliki pistol ini, tetapi kemampuan tidak mengizinkan. 

Kami hanya mampu beli tikam-tikam dan jika bernasib baik dapatlah pistol mainan. Tikam-tikam hanya lima sen sekeping, dicabut dan tengok nombornya jika ada yang mengena. Satu dalam seribu yang dapat. (Orang kata tikam-tikam ini haram, judi, berdosa. Maaflah kerana kami terlalu kecil untuk menilai judi dan bukan judi ketika itu). Hanya pada hari raya, kami ada sedikit wang lebih untuk membeli pistol mainan jenis ini.

Lain daripada itu, kami buat pistol dan senapang sendiri. Senapang kayu. Kami cari papan-papan perca dibuatkan laras dan pembidiknya sendiri. Diikatkan dengan tali getah sebagai peledak, manakala pelurunya pula berbentuk ‘L’ untuk kami tarik getah sebelum ditembak ke sasaran. Pelurunya kami buat banyak-banyak, sekarung.

Kami panggil ‘senapang bedil’.

Kami main tembak-tembak. Dua pasukan berperang, kalau sudah kena tembakan mesti mati, mati walaupun terkena tangan atau kaki. Tak aci tipu. Tipu dan tak tipu itu bersifat relatif, strategi. Sudah kena tembak tapi tidak mengaku, susah mahu dibuktikan. Kami bergaduh, bergaduh untuk bermain kembali.

YATNAH DAN BABI TANAH @ KUTU TANAH


Pokok daun asin-asin atau kami panggil pokok sayur menjadi habitat terbaik serangga ‘yatnah’. Yatnah memakan pucuk muda, berkawan dan membiak di pokok asin-asin. Yatnah berbulu hitam pekat, berbadan merah yang lembut badannya. Barangkali ia spesis rama-rama yang mudah hidup dan mudah mati! Kami menangkap yatnah sekadar suka-suka pada padanan warna hitam-merah, sebelum dicampak ke dalam telaga menjadi habuan haruan atau puyu.  Ia tidak begitu signifikan dalam hidup kami, sekadar kewujudannya dirasai dan hilangnya dicari.


Namun saya amat bersyukur pada kepulangan ke Pondok pada 29 April 2012, saya temui spesis yatnah. Komunitinya masih wujud dan boleh membiak. Syukur. Dahulunya kami jadikan yatnah ibarat binatang ternak yang kami tambat di hujung jari. Kami ambil tali kecil dari urat-urat batang pisang, lalu kami ikat di leher yatnah sebelum kami lepaskannya di sekitar kami. Yatnah yang bertali senang untuk ditangkap semula, ia menjadi binatang peliharaan kami seketika, sebelum ia mati atau hilang begitu sahaja.

Di bawah rumah pula sarang-sarang kecil seperti kawah-kawah di bulan, menjadi kediaman babi tanah @ kutu tanah. Maaf, saya sendiri tidak ingat lagi apa nama yang kami berikan kepada haiwan kecil ini. Berbadan seperti kutu, punyai tiga abdomen kecil; kepala, kaki dan perut. Abdomen perut lebih besar dan pipis; dan jalannya mengundur ke belakang. Untuk menangkap kutu tanah, kami gunakan straw atau rokok daun. Kami hembus di pantat kawah kecil sarangnya perlahan-lahan sebelum menangkap siibu kutu tanah. Ibu kutu tanah yang besar kami lagakan sesama sendiri. Ada yang mahu melawan, tetapi banyak yang mengundur dan mengundur.

Saya pernah membuat sarang kutu tanah diletakkan dalam kertas sebagai uji kaji. Mati.

CENGKERIK DAN CEREK


Chaghik. Kami memanggilnya chaghik pada bahasa bukunya ialah cengkerek. Chaghik banyak bersarang di bawah balaisah. Lubangnya mudah dicari. Ada gemburan tanah di permukaan lubang menandakan ada penghuninya. Suaranya amat nyaring, kadang kala mengganggu Pak Teh baca kitab di balaisah malam-malam hari.

“Eh chaghik ni, wokpa mu hinger sangat!”, keluh Pak Daud.

Orang-orang tua pondok pula selalu membawa cerek ke balaisah. Ia bagi memudahkan mereka berwuduk untuk solat Maghrib dan Isya. Tidak perlu menunggu giliran di telaga Pak Teh, terutamanya jemaah perempuan. Hampir setiap anak tangga ada susunan cerek milik jemaah masing-masing. Kami kenal setiap pemilik cereknya. Awas jangan sampai terambil cerek tok itu dan tok ini yang garang! Nahas.

Ketika sesi baca kitab (sama ada Pak Teh atau Tok Ayah Kob), ataupun geng-geng yang awal habis mengaji Quran, kami di bawah balaisah sibuk menangkap chaghik. Kami masukkan air ke dalam lubang chagik dan menunggu senyap-senyap seketika sehinggalah si chaghik keluar dan kami segera menangkapnya.

Chagiknya kami campak ke dalam telaga Pak Teh dan seronok melihat ikan kaloi besar Pak Teh menangkap mangsa. Itulah kegembiraan kami.

“Hoi, budak mane yang amik A (air) aku ni? Habis secerek.. Hehh budak-budak ni, aku nak amek A semayang pun payah!”. Marah seorang jemaah setelah didapati cereknya kering kontang.

Opp! Maaf! Bukan aku, mu lah tu...; masing-masing tidak mahu mengaku. 

Thursday, April 12, 2012

BALAISAH (MADRASAH)


BALAISAH (MADRASAH)
Kami memanggilnya balaisah. Sebenarnya  ia madrasah (terjemahan kata Arab, sekolah) tetapi lebih tepat ia sebuah surau. Balaisah didirikan hasil wakafan dari kampung-kampung sekitar Pondok Padang Nyior setelah Pak Teh pulang belajar di Mekah, sepuluh tahun lamanya. Setiap kampung menyumbangkan sebatang tiang, lantai dan dinding; baik dari kampung Padang Gelanggang, Kampung Pisang, Kampung Padang Terap, Kampung Taban, Kampung Sungai Sari, Kampung Padang Cenderai, Kampung Tanjung, Kampung Pokka dan lain-lain. Tahun 1961 dengan satu meter setengah tinggi dari tanah, ia didirikan bergotong royong menzahirkan sebuah pusat pengajian ‘pondok’. Pak Teh dan Tok Ayah Haji Kob (Haji Yaakob) menjadi tok guru siang malam, selain Haji Zain dan ustaz-ustaz lain.
Tingkap-tingkap yang banyak memudahkan sistem pengudaraan semulajadi menyejukkan jemaah. Melalui tingkap itu jugalah, pak bilal melaungkan azan. Tok Saad Kudung, Pak Daud, Pak Long Pi antara bilal awal bertugas, kadang-kala budak-budak pondok diberi peluang melaungkan azan, termasuklah Mad Chi.
Bahagian depan balaisah berdiri pokok bunga tanjung. Tinggi. Biarpun tinggi, kami panjat mencari sarang burung untuk dimakan telurnya, ataupun buah bunga tanjung yang masak untuk dikunyah. Pada laluan masuk, berjajaran pokok jangoh (janggus, gajus @ ketereh) yang menjadi habuan kami memetik pucuk muda dibuat ulam, buah dan bijinya untuk dimakan.
Di sebelah kiri balaisah, sepohon pokok kepala kambing tumbuh tinggi. Isinya putih berbiji hitam keras yang kami makan walaupun rasanya tidaklah sesedap mana. Buahnya seakan-akan kepala kambing, tangkai dan empulurnya senang ditarik keluar. Budak-budak pondok suka bermain dengan empulurnya yang ditarik keluar masuk, keluar masuk seakan-akan...
“His budak ni!”
Buah kepala kambing sinonim dengan buah kote mamak. Beberapa batang pokok kote mamak tumbuh di tepi jalan Sekolah Kebangsaan Padang Terap ke arah Padang Gelanggang, di tepi bendang. Bentuknya tidak perlu digambarkan lagi, sebiji macam anu mamak. Isinya hitam berair seperti juga kulit kerasnya yang hitam. Kami ketuk-ketuk hingga pecah dan cungkil isinya untuk dimakan.
Dalam pagar rumah Pak Teh, banyak pokok limau bali. Kami makan beramai-ramai di pondok cicah garam belacan melalui ‘kebenaran’ Hisyamudin untuk memetiknya. Kami tahu Pak Teh memang banyak tanam pokok buah-buahan untuk budak-budak pondok, untuk kami juga anak-anak menakannya. Buah nona dan delima hanya sesekali dapat kami makan.
Itulah balaisah kami.

Thursday, April 5, 2012

BUAH-BUAHAN HUTAN

Kami tidak pernah kenal jajan atau makanan ringan. Di kedai dijual biskut, kacang goreng atau makanan siap seperti laksa dan mi goreng. Jajan tidak ada. Jika adapun ia amat nadir, sedikit. Mula-mula diperkenalkan ialah gula-gula getah; chuwing-gum.
Oh, ya saya suka sekali kalau emak belikan gula rambut. Jadinya, jajan kami ialah

*gula rambut
*chuwing-gum
*kacang goreng (kacang goreng timbang; sama ada jenis lemak atau masin)
*biskut (empat segi, marie, bergula, akar kelapa)

Jajan kami adalah sumber alam yang terbentang luas. Ada yang masam, ada yang manis, ada yang lemak begitu sahaja. Antara yang kami makan sebagai jajan selingan;

*buah sentul (setoi)
*asam jawa - dimakan bersama cili (garam belacan)
*gemuyu (bentuknya seperti buah kurma, warna jingga dan hitam setelah masak, berbuah di batang besar dan dahan, rasanya masam. Mungkin telah pupus pokok ini)
*remia (ghemia) sejenis buah star, masam dan bermusim
*buah kait-kait
*buah letup (pokok menjalar buahnya berwarna oren yang dimakan isi kecilnya seperti biji selasih)
*buah madi (buah pokok kelat paya)
*buah mata itik (pokok renek di dalam hutan, belukar berwarna merah kecil)
* senduduk - ada senduduk gajah - berwarna coklat dan ada senduduk biasa -berwarna jingga.
*kemunting - jika dimakan banyak-banyak ada ulat, kata orang tua-tua.

Manakala buah-buahan di dalam dusun yang bermusim, kami amat arif mengusahkannya. Durian, manggis, rambutan, langsat, rambai, duku, nangka dan cempedak makanan bersilih ganti yang kami rasai saban tahun.

Wednesday, April 4, 2012

HOBI

Hobi. Perkataan ini tidak pernah saya dengar (guna) sehinggalah Darjah Empat begitu. Guru kelas meminta berdiri dan menyatakan apakah hobi masa lapang kami. Saya masih tidak faham makna dan erti 'hobi'.

Hobi diertikan 'aktiviti masa lapang'; saya terfikir (pada ketika itu), mana mungkin saya ada masa lapang? Masa saya (dan kita semua) terisi dengan berbagai aktiviti, tentunya tiada masa lapang. Tidur juga adalah pengisian, main bola, memancing, mandi sungai, meredah hutan, berjalan-jalan di kebun, berkelah di sungai dengan budak-budak pondok adalah aktiviti. Ia bukannya 'masa lapang', masa lapang tidak wujud sebenarnya. Solat dan mengaji Quran adalah aktiviti, merayap mencari TV juga aktiviti, fikir saya.

"Nawawi, apa hobi awak?' Sergah cikgu pada giliran saya.

'Angkat air cikgu!' (dialek Padang Terap; 'Hakot A')

'Angkat air itu kerja. Kerja tolong mak, ia bukan hobi...'

Kawan-kawan lain ketawakan saya...

Sememangnya kami kena angkat air setiap hari. Ia routin yang perlu dibuat bagi mengelakkan mendengar leteran seorang ibu. Tiga tempayan di atas rumah perlu dipenuhkan air, tempayan bermulut kecil di letak di tengah ruang dapur untuk air minuman, dua tempayan lagi di letak di bahagian jemuran untuk membasuh pinggan mangkuk. Kami (dan Mad Chi) gunakan baldi berulang alik dari telaga ke atas rumah. Biasanya empat trip bagi dua pekerja baharulah penuh semua tempayan.

Hanya kadang kala Mad Chi leka bermain bola, kenalah saya penuhkan juga tempayan yang ternganga mulutnya.

Itulah 'hobi' saya ketika itu.

Monday, April 2, 2012

WAK TUKINO

Malam tadi saya dijemput berceramah di Kampung Jawa, Segamat. Sambutan Maulid Rasul anjuran JKKK Kampung Jawa dan Belia Sepakat. Bersama rakan lama saya, Hamzah kami solat Isya di Surau Kampung Padang Lalang di tepi jalan.

Ketika semua jemaah berdiri tegak, seorang jemaah ini berbongkok seperti dalam keadaan rukuk. Orang tua pastinya.

"Oh, saya mesti cari siapa orang tua ini.." sambil bertakbir untuk solat Isya.

Usai solat saya mencuit jemaah ini. Lancar lidah pelat jawanya bercerita. Nama benarnya Haji Aman bin Kodri, berusia 76 tahun. Orang kampung lebih mengenalinya sebagai WAK TUKINO. Dia telah lama pencen, bekas pekerja am pemungut sampah Majlis Daerah Segamat.

"Kenapa Wak solat tak boleh tegak macam ni?" Gurau saya..

"Wak sakit la. Belakang Wak ni dah lama sakit, tak boleh tegak lagi. Dulu wak kerja kuat, kerja angkat sampah angkat barang berat-berat, sebab tu belakang Wak sakit." Jelasnya.



Cerita Wak Tukino menjadi sebahagian daripada isi ceramah saya. Bayangkan orang yang sakit, bongkok lagi, boleh datang berjemaah, kenapa kita yang sihat segar bugar tidak pedulikan azan yang dilaung? Ambillah pengajaran daripada setiap apa yang kita lalui.

JARAN (BEJARAN, BERJARAN) DAN JELUN

Apabila anak-anak panas badannya, saya ambilkan sebesen air lalu direndamkan kaki mereka. Mula-mula rendam betul-betul untuk menyejukkan badan, digosok perlahan-lahan ke lutut dan seterusnya. Akhirnya basah seluruh tikar di hadapan TV dengan Nuha, Ibrahim dan Sara bermain air.

Bawa tikar ke luar, mop kering-kering dan anak-anak kelihatan hilang panas badannya. Itu tujuan utama.

Semasa kecil, saya ingat Mak Cik Melah dan emak-emak saudara saya; Mak Lang Nah dan Mak Ngah Timah rajin berjaran, jika tidakpun berjelun bagi mengatasi demam panas. Selalu saya kena demam panas kadang kala sampai seminggu. Hampir setiap malam kami kena 'berjaran' hingga ke awal pagi.

Berjaran adalah cara untuk menyejukkan badan. Air diletakkan di dalam besen yang dimasukkan daun-daun (entah daun apa- kena cari lagi maklumatnya), besennya diletakkan di atas kerusi atau meja kecil agar lebih tinggi daripada kepala pesakit. Saluran getah kecil digunakan untuk menitiskan air dari besen ke kepala pesakit. Pesakit dibaringkan atas bantal bersalut plastik dan diletakkan di bahagian rumah yang berseloran. Titisan air dikawal sekata, jika terlalu laju, kami sumbatkan dengan rokok daun untuk mengecilkan titisan air. 

Selalu juga kami jarankan Mak Cik Melah bila dia demam. Sesekali kami basahkan tuala dan jelun di kepala Mak Cik. Gosok ke serata kepalanya. (Bukankah cantik amalan seperti ini, memesrakan hubungan anak dan ibunya)

Pernah kerana terlalu lama demam, Mak Lang Nah dan Mak Ngah memandikan saya pada malam hari dengan rendaman tempurung yang dibakar. Sebagai anak, akur walaupun saya tidak tahu rahasia orang tua-tua berbuat demikian.  Menggigil kesejukan.

Ayah tidak mendoakan secara langsung kepada saya, sebagaimana amalan perubatan Islam yang diamalkan  masa kini. Pak Teh ada juga sesekali mendoakan pada air untuk diminum. Saya ingat Pak Ku Lah (Tengku Abdullah, bapa kepada Ku Man dan Ku Mit -Tengku Rahman dan Tengku Hamid) pernah berjampi pada air di dalam gelok untuk diminum. Airnya terlalu sejuk. Tidak suka saya meminumnya.

(Nama Ku Man dan Ku Mit menjadi lelucon kepada kami; Ku Man Ku Mit Ku Ping Kudis; ada kuman, kumit, kuping dan kudis!)

Saya jenis budak yang tidak suka kepada ubat ubatan, ubat klinik. Pahit. Berbagai rawatan tradisional yang diuji cuba untuk menyembuhkan demam panas. Jika dibawa ke klinik di Kuala Nerang, saya hanya makan sekali sahaja ubatnya setelah dipaksa doktor prebek benggali yang satu-satunya ada di Kuala Nerang. Ubatnya berbentuk pil, saya cakap saya tidak boleh makan 'ubat biji', lalu doktor hancurkan ubat pil dibancuhkan dengan air dan diberi minum. Cukup, cukup sekali saya makan ubat hospital.

Setelah agak besar, kalau demam dan panas-panas badan saya selalu beli COTRAL perasa oren yang manis ('Cortal oren yang manis' slogan iklan jenama ubat popular pada ketika itu). Saya beli di Kedai Hasan di simpang tiga jalan masuk ke Pondok, dan itulah satu-satunya ubat pil yang saya makan.

Saturday, March 31, 2012

TIKA

Tika Balqish usai bentang tamat tesis PhD-nya
luluh juang seribu taman
dihulur sujud sukur solat taubat

Tika si bisu selipar jepun lusuh
membuka beg plastik mencari uwang
membeli donat, tersua lelaki menghulur
sepuluh ringgit; uwah uwah tidak terucap

Tika Halijah marah geraham jahanam
telan-telan ubat darah tinggi menyebat
di-ICU-kan lewat malam kelat

Tika sekolah agama usang dihembur PETRONAS bakti
uwang seribu, usang jadi baru, beribu-ribu jemari saksi
luhur hati luhur budi

Tika dua titis air
malam pekat mengayam keringat
silih ganti hidup; hiba dan laba
di mana Tuhan mahu kutaat?


BUNGA KEMBANG PUKUL SEPULUH

'Pukul berapa dah la ni?'

'Tak thu la.. tak napak jam'

Jam di kampung kami hanya ada dua. Satu di Madrasah dan satu lagi di rumah ayah. Kedua-dua jam dinding ini jenis 'kena kunci' untuk menghidupkannya. Apabila jamnya mati, adalah tukang pemutar jam; diputar sehingga habis dan jam berjalanlah beberapa lama. Ladungnya berat diperbuat daripada tembaga, barangkali.

Jam di Madrasah lebih kecil saiz kotak kayunya berbanding jam di rumah ayah. Namun jam di rumah ayah kerap rosak, masih rosak walaupun dihantar baiki di pekan Alor Setar.

Kami memerlukan jam untuk bersiap ke sekolah. Apabila 'tidak nampak jam', panduan kami cukup mudah. Tengok 'bunga kembang pukul sepuluh'.

'Bunge ni kemang pukul sepuloh.' kata Mak Lang Nah. Kami mengangguk.

Bunga pukul sepuluh akan berkembang sekitar jam 10 pagi. Ia cukup mekar setelah satu jam berikutnya. Dan itulah tanda yang kami maklum untuk menunjukkan waktu. Bunga kembang pukul sepuluh. 

Monday, March 26, 2012

BUYUNG, GURI DAN TEMPAYAN

TIGA pekakas ini digunakan untuk mengisi air. Tempayan lebih besar, guri dan buyung lebih kecil yang biasanya dijunjung di kepala untuk membawa air.

Semua alatan ini diperbuat daripada tanah liat. Tanah liat pantang jatuh @ terjatuh, pecah. Semua orang yang menjinjit guri dan buyung amat berhati-hati, lagi cermat. Air seguri jangan dihabiskan semalam, nanti kena turun ke telaga jauh di tepi rumah susah hendak bergerak malam-malam.

Kesusahan itu pengajaran yang baik untuk kehidupan.

Friday, March 16, 2012

TINEK TEJATUH

Tinek tejatuh adalah kalimah biasa yang kami gunakan bagi menentukan arah. Kami tidak pernah menggunakan tanda arah; utara, selatan, timur dan barat; melainkan setelah masuk bersekolah yang diajarkan cikgu. Tinek tejatuh kepala tido dan kaki tido; itulah tanda arah yang digunapakai warga setempat.

Suatu pagi Ayah hendak menjerat lembu di dalam kandang di Kampung Eto. Apabila musim padi, lembu-lembu (dan juga kerbau) perlu dipasang jerat, dicucuk hidungnya bagi memudahkan kami menjaganya. Lembu-lembu tidak lagi boleh dilepas bebas nanti habis padi di bendang dimakannya. Kerja menangkap lembu walaupun di dalam kandang bukanlah mudah.

Galah buluh panjang yang diikat dengan serawan jerat diacu ke leher lembu yang hendak ditangkap. Saya juga kena memegang buluh berjerat bagi membantu Ayah. Ketika lembu berlari-lari di dalam kandang, Ayah memberi arahan;

"Gi lek tinek! Gi lek tinek! (Pergi ke arah tinek!)

Saya tidak faham arahan yang diberi. Tetapi apabila Ayah mengarahkan sekali lagi dengan isyarat tangannya, fahamlah saya arah yang dimaksudkan. Saya pergi ke arah tinek.

Tinek, kalimah tinek masih baru dalam otak mentah saya ketika itu.

Apa itu tinek?

Akhirnya saya faham juga kalimah tinek setelah berulang kali diguna, setelah berulang kali cuba memahami.

Tinek ialah ringkasan daripada 'matahari naik' (arah matahari naik; timur). Lawan tinek ialah 'tejatuh' (matahari jatuh; barat). Kepala tido ialah arah kepala kita tidur iaitu arah selatan, dan kaki tido ialah arah utara.

Ia seperti bicara orang Perak; 'ke hilir dan ke hulu'. Ke hilir bermaksud menuju ke arah pantai, manakala 'ke hulu' menuju ke arah bukit (banjaran Titiwangsa).

Begitulah indahnya bahasa dan berbahasa!

SUKUTHIL (SUKU TIL)

Ayah penghisap rokok daun bertembakau jawa. Tembakau jawa bewarna hitam dan lembab, tidak kelihatan kering seperti kebanyakan tembakau yang diambil oleh masyarakat Jawa.

Rokok daun rumbia boleh kami gunakan untuk dibuat penunjuk al-Quran, jika tiada pilihan lain. Biasanya kami raut sendiri bilah-bilah buluh untuk dijadikan penunjuk Al-Quran. Pantang kalau membaca al-Quran tiada penunjuk. Kurang adab.

Sesekali saya dan Hisyamudin anak Pak Teh ke rumah Tok Jah menghisap rokok daun. Hisap bermain-main tanpa ada apa-apa keinginan.

Suatu hari Ayah meminta saya membelikan tembakau di kedai Abang Wahab.

"Ee, mu gi beli tebako sukuthil di kedai Abang Wabah."

Saya yang mendengar arahan, mencapai duit yang dihulur dan meluru ke kedai Abang Wahab. Saya tidak tahu apa maksud sukuthil yang ayah cakapkan. Hendak bertanya, takut. Hendak memandang mata ayah sendiri pun tidak berani, inikan pula mahu membantah; malah mahu bertanya!

Apa itu sukuthil? Saya tertanya sendiri, mungkinkah secubit atau barangkali ada ukuran tertentu bagi timbangan tembakau. Itu yang menerjah dalam pemikiran saya yang samar-samar mahu mengerti kalimah sukuthil.

Sampai di kedai Abang Wahab, saya ulang semula cakap Ayah.

"Hendak beli tembakau sukuthil.."

Dan yang pelik dan ajaib, Abang Wahab mengambil tembakau dan ditimbang menggunakan dacing kayu dengan ladung batu. Tembakau diserah dan saya pulang memberikannya kepada Ayah yang menunggu di beranda rumah.

Puas saya tercari-cari apakah makna sukuthil. Ia tidak ditemui. Tidak ditemui pada ketika itu.

Hanya setelah dewasa saya mendapat jawapan sendiri akan makna sukuthil. Saya tersenyum sendiri, gembira dan amat teruja.

Sukuthil ialah 'suku tahil'. Sebutan thil memang biasa dipakai kalangan kami warga setempat. Beli ikan 'lapanthil' atau bersamaan setengah kati. (16 tahil satu kati). Namun saya sendiri tidak biasa menggunakan perkataan 'suku' (1/4), jadi kalimah sukuthil tidak pernah masuk ke minda saya pada saat hingusan sepertinya itu.

Sukuthil; kalimah ringkas mengingatkan saya pada Ayah, rokok, tembakau dan meja kerusi kayu berwarna hijau di beranda rumah kami.

Monday, March 12, 2012

PAK MAT PADANG

PAK MAT PADANG seorang murid tua Pak Teh di Pondok. Tinggal menetap di Sungai Sari, dan rumahnya di belakang masjid. Pak Mat Padang dan isterinya antara anak murid Pak Teh yang rajin datang mengaji kitab kuliah mingguan Pak Teh pada setiap hari Sabtu selepas Zohor.

Saya 'terikat' dengan Pak Mat Padang kerana dia selalu membawa buah buahan ke rumah Pak Teh dan ke rumah Ayah. Kalau dibawanya pisang, semayang ke rumah Pak Teh dan semayang ke rumah Ayah. Kadang kala diberikan beras baru pada awal musim untuk kami. Dia juga datuk kepada Halim yang tinggal serumah sewa semasa kami belajar di Maktab Mahmud, di 378 Lorong Molek, Simpang Kuala.

Dengan suaranya yang agak garau, dia rajin bertanya. Pernah dia bertanyakan Pak Teh tentang solat;

"Boleh ke Pak Teh, ama nak tegehbit cepat; tengok bini dok tengeh semayang; ama cakap ja, 'aku nak gi dulu, mu bawa air kopi tu sekali..."

(Bolehkah kita bercakap kepada orang yang sedang solat untuk memesan apa-apa)

Pak Teh terdiam seketika. Entah apa pertimbangan Pak Teh ketika itu, sebelum dia bersuara;

"Eh.. boleh eh.. boleh. Tak pa!"

Saya mengagguk kecil mengiyakan pendapat Pak Teh.

 

SUSU KERBAU

Lebai Bagus (nama sebenarnya Lebai Jaafar) dikenal penduduk setempat di Padang Terap. Digelar 'bagus' kerana selalu menyebut bagus-bagus dalam bicaranya. Apa-apa sahaja cakapannya mesti diikuti dengan kalimah bagus-bagus berulang kali. Dialah Lebai Bagus.

Satu lagi keistimewaan Lebai Bagus kerana dia pandai memelihara kerbau untuk diambil susunya. Boleh dikatakan setiap hari dia memerah susu kerbau, sehari dalam segelen (dua liter lebih atau ukurannya satu jag penuh). Setiap hari ada pelanggan yang datang mengambil susu segar dua ringgit satu jag! Biasanya kami menempah sehari sebelumnya bagi mengelak bertembung dengan pelanggan lain.

Susu kerbau perlu dimasak dahulu. Mendidih dan dikacau tanpa henti bagi mengelakkan berkerak untuk dimakan bersama pulut dan sedikit air garam. Itu menu istimewa yang sesekali kami dapat.

Suatu petang saya menempah susu kerbau kepada seorang pengusaha lain (terlupa sudah namanya) dan keesokan harinya dia menghantar di depan pintu rumah. Emak saya kehairanan.

Siapa yang minta?

Mad Ee...

Dan emak membayar harga susu sebelum pulut ditanak dan dimakan bersama-sama anak beranak.

Setelah pergi haji, Lebai Bagus dipanggil Haji Bagus. Namun Haji Bagus menukar identitinya. Kalimah bagus digantikan pula dengan perkataan 'molek'. Kami kurang biasa dengan panggilan Haji Molek, walaupun itulah trade mark baru yang dibawanya. Kami panggilnya juga Haji Bagus. Lagi sinonim Haji Bagus dan susu kerbaunya.



Sunday, March 4, 2012

SABUN LIFE BOUY

Kami mandi bersabun hanya setahun sekali, iaitu bila tibanya hari raya. Hari-hari lain kami mandi koboi begitu sahaja. Tuala? Tiada tuala dalam hidup kami. Kain basahan suatu kewajipan kerana kami bermandi manda di telaga!

Apabila Abang Pa (Mustafa) pulang dari Kuala Lumpur, baharulah saya berani meminta dibelikan tuala. Ketika itu saya tinggal berdua dengan Kakak Aisyah. Setelah mendapat tuala, tidaklah pula kami pandai menggunanya. Kami simpan dahulu dan hanya dikeluarkan kakak ketika saya mengikuti lawatan sekolah ke Taiping.

Berkali-kali kakak Aisyah berpesan cara-cara menggunakan tuala. Katanya tuala digunakan untuk mandi dan kain basahan digunakan untuk mengelap. Itulah yang saya buat ketika mandi di Sungai Bukit Larut perjalanan ke Taiping! Jangan bayangkan bagaimana keadaannya.

Sabun? Ketika Abang Pa pulang berhari raya, kami meminta dibelikan sabun mandi. Kami amat gembira apabila abang belikan sabun mandi Life Bouy untuk kami. Berulang kali kami baca nama sabun itu; Life Bouy. Baunya harum dan menyegarkan. Sabun Life Bouy. Sabun itu hanya muncul sekali dalam hidup kami. Hanya sekali sahaja.

TELAGA

Kami mandi di telaga. Minum dan basuh baju di telaga. Telaganya banyak. Telaga ayah yang paling dekat dengan rumah kami, bersebelahan rumah Mak Cik Melah. Telaga Pak Teh di tepi madrasah yang biasanya ada ikan kalui besar menunggu-nunggu charik (cengkerek) yang kami campakkan. Telaga kok terletak di tepi tanah Pak Yeh (Haji Idris) yang sememangnya sepenuhnya memasang kok dari atas sampai ke bawah. Airnya tentu lebih bersih kerana tiada berselut, bertanah.

Telaga Mak Ngah Timah pula penuh dengan juntaian rumput dan lumut tumbuh di sekelilingnya. Telaganya besih walaupun agak terdedah. Saya pernah terjatuh ke dalam telaga ini sewaktu mahu membuang bangkai ular di dalamnya. Ada lagi satu telaga di luar kawasan pondok iaitu di tepi hutan, tepi padang sekolah Agama (sekarang didirikan asrama putera Maktab Mahmud Padang Terap). Telaga ini dikira tidak berapa bersih, tetapi kami tidak kisah semua itu. Telaga tetap telaga, telaga tempat kami bermandi manda, mendapatkan sumber air dan membasuh pakaian. Di pinggir telaga ini banyak pokok ulam kesom yang tumbuh. Kami (Kak Aisyah dan saya) petiknya sebagai ulam dan lauk bertemankan nasi.

Sebuah telaga lagi seingat saya ialah telaga tepi sekolah, berhampiran rumah Mak Lang Nah. Telaga ini sempoi kerana dikongsi ramai keluarga pondok. Sekarang ia menjadi kawasan tandas Sekolah Maktab Mahmud Padang Terap. Seingat saya, saya pernah basuh baju sekolah pada lewat petang untuk dipakai keesokan harinya. Sehelai baju untuk seminggu, untuk setahun!

BUAT RADI0

Radio hanya ada di rumah Pak Daud kaki kudung (dipotong sedikit akibat kencing manis). Rumahnya di pintu masuk ke Pondok. Dia mengajar mengaji kepada budak-budak pondok dan sekitarnya. Selalunya rumah Pak Daud ada kera, keranya dilatih untuk memetik kelapa selain tempat untuk kami acah mengacah si monyet kecil Pak Daud.

Isteri Pak Daud namanya Romah dengan seorang anak Mashitah. Mereka kini berpindah ke Kampung Baru, berhampiran Kampung Pisang.

Jika mahu mendengar lagu-lagu rekod; piring hitam kami selalu bertandang ke rumah Pak Husin Makloh (muallaf). Anaknya Dolah dan Said. Bolehlah kami dengar lagu-lagu A Ramli seperti Intan Liana, Pepatah Pujangga dan lain-lain lagu hindustan. Lagu-lagu hindustan melekat juga dalam diri ini, walaupun tidaklah pernah kami tengok wayang hindustan pada ketika itu.

Pada majlis kenduri kendara, biasanya Pak Su Man ada rekodnya sendiri. Dia diundang memeriahkan majlis kenduri kendara. Speaker digantung tinggi di atas pokok dengan wayarnya panjang disambung ke amplifire berkembar dengan rekod piring hitam. Biasanya dimulai majlis dengan bacaan al-Quran oleh Ismail Hashim, sebelum dipasang piring hitam hindustan dan lagu-lagu Melayu. Lazimnya lagu hindustanlah yang lebih mendapat perhatian.

Di rumah kami tiada radio. (Radio kaset pertama dibeli oleh Abang Teh setelah dia belajar di UKM, radio Toshiba agaknya).

Untuk kanak-kanak seusia kami, apakah radio yang kami boleh buat? Kami buat radio sendiri.

Mula-mula tangkap kumbang yang biasanya membuat lubang di kayu-kayu rumah (kasau atau halang), tangkap dengan berhati-hati kerana gigitannya amat tajam dan sakit. Lebih mudah kami letakkan botol di pintu lubang kumbang lalu kami ketuk kayu kuat-kuat. Apabila kumbang keluar, dia terperangkap di dalam botol.

Biasa juga saya tangkap kumbang ini ketika hinggap di bunga labu. Ia lagi mudah kerana bunga labu berbentuk kun, hanya diletakkan kain perangkap dan dicekup kumbang baik-baik sebelum langkah berikutnya.

Kumbang itu diletakkan di bawah kain dan kain itu diikat di atas permukaan tin susu. Jadi terperangkaplah kumbang di bawah kain dengan kakinya bergerak-gerak di atas tin susu. Kami gerakkan kumbang untuk menghasilkan bunyi dengungnya. Itulah radio kami.

RUMAH EMAK

Rumah emak terletak di hujung kawasan pondok menghala ke tepi bendang. Lorong kecil tepian rumah Pak Teh menjadi laluan utama, selain ikut lorong depan rumah Mak Ngah Timah. Rumahnya cukup untuk kami anak beranak. Saya kira ayah yang bina rumah ini. Entahlah, sebab seingat saya rumah itu telah wujud membesarkan saya seketika.

Ia rumah kayu empat segi sama, tinggi lantainya daripada tanah dalam satu meter suku. Satu pintu utama dan satu pintu dapur, tanpa bilik tidur hanya ada ruang dapur dengan gelegar lantainya, dan ruang tidur yang diletakkan tikar mengkuang. Seingat saya, tiada tilam (bok) yang emak sediakan untuk dirinya dan untuk kami (Kak Aisyah dan saya).

Sesekali giliran ayah bermalam di rumah emak, saya jadi malu sendiri. Malu sebenarnya berhadapan dengan ayah. Hari itu saya campakkan sahaja goreh api (pemetik api) ke ribaan ayah. Emak menegur.

"Tak baik buat macam tu Mad Ee.."

Saya malu dan bersembunyi di belakang pintu!

Ada tikanya saya kencing malam, sedangkan ayah ada bersama. Emak merungut-rungut, tetapi saya tidak faham apa-apa ketika itu. (Ya Allah, ampunilah kesalahanku pada emak dan ayah kerana gangguan yang tidak kusedari).

Dapur di rumah emak adalah yang paling simple. Orang kampung pada ketika itu, itulah sekadarnya yang termampu. Sebuah dapur kayu bertuku tiga yang diletakkan di atas pangkin, hanya satu satu dapur sahaja. Masak nasi biasanya diikuti sekali memanggang ikan masin dengan penyepit perenggan. Masak sahaja nasi, maka masaklah lauk ikan bakar tamban atau ikan yu kering. Sayur tiada dalam resepi kami, jika ada sayurpun, maka sayur itulah sahaja lauk yang dimakan bertemankan nasi.

Dapur emak ada ran/para tempat letak gula, garam atau beras. Boleh juga diletak ikan masin. Biasanya ikan masin digantung betul-betul di atas dapur dengan tali panjang mengikat di halang rumah. Tujuannya supaya kucing tidak dapat panjat dan mencuri ikan masin kami.

Di rumah kecil itulah kehidupan kami berkembang. Ia tidak menyesali siapa-siapa, hanya coretan pada rencam kehidupan yang dilalui.

Saturday, March 3, 2012

TAHAN KAIL - TAHAN TAUT

Menangkap ikan menjadi hobi dan kegiatan hiliran pada musim padi. Ia bukan sekadar hobi kepada anak-anak kampung seperti kami, malah ia menjadi sumber lauk pauk kepada keluarga kami. Selalunya kami (saya dan Sanusi) membuat joran pancing sendiri. Masuk belukar di tepi kebun getah Ayah, kami cari anak-anak pokok langsat hutan. Batangnya keras dan lurus. Cantik dijadikan batang pancing (taut).

Kami beli tali tangsi dan mata kail sebelum diikat ke batang langsat hutan. Cukup 10 - 12 batang joran untuk kami keluar menahan kail di Bendang Chucoh, ataupun Bendang Raja tepi Sekolah Kebangsaan Padang Terap. Umpannya cacing tanah, dan lebih baik kalau dapat cacing gelang yang liar itu, yang lebih digemari ikan-ikan keli dan haruan.

Jika bersekolah petang, maka sesi pagi kami keluar memancing. Jika sekolah pagi, sesi petang kami keluar memancing. Kami jarang menggunakan pancing buluh kerana ia agak sukar hendak diraut cantik-cantik. Kami juga jarang menggunakan pancing panjang galah yang sebatang-sebatang, kerana ia biasanya menjadi pilihan kaum wanita sahaja. Kami hanya tahan kail, tahan taut.

Pernah kami lambat ke sekolah kerana leka menahan kail. Tergesa-gesa kami berkejaran kelewatan ke sekolah, nasib baik cikgu tidak memarahi kami.

MAD Ee DAN MAD CHI

Nama saya Ahmad Nawawi tetapi dipanggil Mad Ee di kalangan keluarga terdekat. Ia ambilan daripada nama Syafie (Imam Syafie). Puncanya kerana dikatakan saya selalu menangis sewaktu kecil, mungkin nama ini tidak sesuai, lalu ditukarkan dengan panggilan Syafie dan ringkasnya Mad Ee.

Abang saya Ahmad Sanusi, yang ringkasnya dipanggil Mad Chi. Kami sebaya. Mak Cik Melah melahirkan Sanusi pada 24 April di Hospital Alor Setar, saya dilahirkan pada tanggal 9 September pada tahun yang sama; 1965. Walaupun berlainan ibu, kami amat rapat. Kami bermain bersama-sama, ke sekolah sama-sama, berjalan-jalan dan mandi sungai bersama-sama. Kami terlebih akrab daripada adik beradik seibu sebapa.

Orang kampung selalu menjadikan kami sebagai contoh;

"Tengok Mad Ee dengan Mad Chi tu, boleh bekawan bek, tak gaduh-gaduh macam mume (kamu) ni. Cubalah kawan bek-bek macan dema tu."

Inilah ungkapan biasa yang kami dengar daripada orang kampung tentang kami. Bangga ada, seronok pun ada.

Balik daripada kenduri kahwin kami meniru aksi silat yang dipersembahkan. Kami buat gelanggang silat di bawah rumah. Tali diikat antara empat tiang rumah dan kami ambil sikat rambut sebagai keris beraksi lagak pendekar menikam musuh.

Pendekar kecil.

EMAK 2

Emak selalu membawa kami solat berjemaah dan mengaji di madrasah. Hampir setiap malam itulah routin hidup kami. Ada kalanya emak membela itik di belakang rumah. Ayam dan lembu adalah sebahagian hidup kami yang tidak pernah berpisah.

Mak banyak berkongsi hidupnya dengan Mak Lang. Mak Lang orang yang paling akrab dengan kami, walaupun Mak Ngah, Pak Teh ada pada lingkungan yang sama. Suatu hari ketika Mak Lang bertandang ke rumah, saya suka mengacau perbualan mereka. Selalunya saya panjat belakang emak untuk mendapat perhatian, menunjukkan kemanjaan dan kegembiraan sebagai seorang anak kecil.

Emak pernah mengadu; 'Ee janganlah mu dok nek belakang mak ni. nati mak mati, mu nak dok dengan sapa?"

Spontan saya jawab: "Dok dengan Mak Cik la.."

"Mu beghani ke duduk dengan Mak Cik mu tu?" Sergah Mak Lang...

Perbualan anak-anak sekecil itu tiada sudahnya. Ia berakhir begitu sahaja.

Saya sedar Allah itu maha mendengar. Setelah emak saya meninggal dunia, kami tinggal bersama dengan Abang Wahab, Kak Aishah beberapa ketika. Ketika Darjah Dua, ayah mengambil kami untuk tinggal bersamanya dengan Mak Cik. Bermula satu period baru dalam hidup kami.

EMAK 1

Dalam surat beranak saya, dicatatkan umur emak ketika itu 42 tahun. Saya hanya diberi peluang oleh Allah untuk memanggil emak dalam tempoh tujuh tahun sahaja. Bermakna emak meninggal dunia pada ketika umurnya 48 tahun setelah sakit uri-uri selama seminggu genap. Tarikhnya pada 11 Februari 1972 (menutur dalam catatan ayah) ketika saya baru masuk Darjah 1.

Pada saya, emak seorang yang cantik yang berambut panjang lebat hingga ke punggung. Sebagai suri rumah di kampung, kerjanya menoreh di kebun getah tepi rumah berkongsi sebahagian dengan Mak Cik Melah. Kami tahu garis pembahagian dengan ditandakan pada batang pokok getah.

Pada musim padi, dia ke bendang menguruskan bendangnya di Taban mahupun di Kampung Tanjung. Jauh sebenarnya jika mahu diikutkan lokasinya pada hari ini, tetapi itulah kudrat yang ada, berkedek-kedek berjalan kaki pergi dan balik.

Kami (saya dan Kak Aishah) ditinggalkan bermain di rumah, menguruskan hal ehwal kehidupan sendirian.

Suatu hari saya bangun tidur -tidur siang- emak dan kakak telah tiada. Marah bukan kepalang jadinya. Akhirnya sengaja saya berak di muka pintu sambil menangis. Apabila emak dan kakak pulang, merka membawa buah kait-kait untuk aku yang ditinggalkan. Sukanya saya dapat memakan buah kait-kait (sejenis buah hutan, bulat kecil dari pokok yang berduri). Menyesal pun ada dengan tindakan bodoh berak di muka pintu!